Khamis, 15 November 2012

PERANAN DATUK, NENEK PENTING !














KUALA LUMPUR : Perubahan struktur keluarga di negara ini memerlukan sokongan warga emas, khususnya ibu bapa yang sudah bergelar datuk dan nenek supaya dapat dibangunkan secara kukuh dan seimbang.
Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Tan Sri Napsiah Omar, berkata arus kemodenan negara hari ini memperlihatkan pentingnya peranan datuk serta nenek dalam sesebuah institusi keluarga.

“Kita tidak boleh menolak bahawa warga emas adalah aset negara kerana mempunyai ilmu pengetahuan lengkap, pengalaman, kemahiran, nilai-nilai unggul seperti tanggungjawab, hormat menghormati, kesabaran tinggi serta kelebihan dalam komunikasi.
“Mereka masih boleh bergiat cergas, menjalani hidup aktif, berfikiran positif, bergaul dengan jiran tetangga serta membabitkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Sebab itu peranan mereka diperlukan...malah, pengetahuan dan kemahiran pada mereka inilah yang dapat mendidik dan membimbing keluarga sekali gus mewujudkan masyarakat harmoni pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan Forum Konsultatif Tok Ma Tok Pa: Keibubapaan Datuk Nenek Mengukuhkan Hubungan Intergenerasi di sini, semalam.

Sumber : Harian Metro